Monday, 18 November 2013

“Villa berhantu” di Johor Bahru jadi perbincangan hangat pengguna Internet

Khabar angin mengenai 23 remaja yang hilang di sebuah vila lama dekat Danga Bay Johor Bahru semalam menjadi perbincangan hangat rata-rata pengguna laman sosial Facebook hari ini.
Di laman sosial Twitter, berita mengenai villa berhantu tersebut atau lebih dikenali sebagai Villa Nabila menjadi "trending" sejak dari semalam hingga ke hari ini.
Rata-rata pengguna Internet berkongsi kisah dan maklumat mengenai Villa Nabila yang tersenarai antara lima tempat paling menyeramkan di Malaysia oleh portal pelancongan Amerika Syarikat, Expedia.
Biarpun perkara mengenai kehilangan 23 remaja yang hilang dalam villa tersebut dinafikan polis, pengguna Internet percaya perkara sebenar cuba disembunyikan pihak berkuasa.
"Apa sebenarnya cerita #VillaNabila ni? @TwtICYM ada tweetpic gambar2 tu semua gambar betul ke? BUKAN SEORANG SAJA YANG 'DISOROK' katanya." kata pengguna twitter @CikHaf.
"@Hannis Chan: Media massa kata seorang je yang hilang. Hal ini kerana media massa tak nak memperbesarkan cerita, atas sebab2 tertentu," kata seorang lagi pengguna Twitter.
Satu laman Facebook "Misteri Villa Nabila di Johor Bahru" yang dibangunkan mendapat 48,920 tanda suka oleh pengguna Internet dalam masa hanya semalaman.
Terdapat enam versi cerita mengenai Villa Nabila yang tidak berpenghuni selama 40 tahun antaranya Nabila yang merupakan anak tunggal dari keluarga kaya raya dibunuh oleh orang gajinya.
Versi lain pula menyatakan Villa Nabila itu asalnya dinamakan Christine Palace sempena nama isteri seorang ahli perniagaan dari barat.
Anak ahli perniagaan yang bernama Nabila akhirnya dibunuh kerana keengganan bapanya membahagikan kan harta kepada adik beradiknya lain menyebabkan villa itu akhirnya terbiar tidak berpenghuni.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Abdul Samad Salleh hari ini berkata pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung kehilangan seorang remaja berusia 16 tahun yang gagal pulang ke rumah sejak Sabtu lalu yang didakwa memasuki Villa Nabila di sini.
Operasi mencari remaja berasal dari Majidee itu masih diteruskan dan disiasat dibawah kes orang hilang.
Turut dilaporkan kawasan luar vila tersebut kini dipenuhi dengan kehadiran orang ramai.

No comments:

Post a Comment