KUANTAN - Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Norhizan Ismail hari ini
mengesahkan ketua ajaran sesat 'Ajaran Harun', Harun Mat Saad, 47,
sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Katanya lelaki itu dimasukkan ke wad di HTAA petang semalam.
"Buat masa ini pakar perubatan sedang memberi rawatan kepadanya, dia
masih dalam pemerhatian pakar...sakit apa saya tidak dapat pastikan,"
katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu beliau mengiringi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang
berkenan melawat keluarga Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, Ketua
Bahagian Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang, di kediaman
Allahyarham.
Harun dilapor dimasukkan ke HTAA pada pukul 2.30 petang semalam selepas
mengadu sakit dan menunjukkan tanda serangan angin ahmar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Abdul Aziz Ahmad berkata
kejadian berlaku ketika Harun berada di dalam lokap Ibu Pejabat Polis
Daerah Kuantan susulan perintah tahanan reman selama seminggu bermula
semalam, bagi membantu siasatan kes bunuh Ahmad Raffli.
Abdul Aziz berkata beberapa tahanan yang berkongsi lokap dengan Harun
memanggil polis selepas lelaki itu mengadu sakit dan mulutnya berbuih
sebelum dia dibawa ke HTAA.
No comments:
Post a Comment