PETALING JAYA – Salah seorang
pelawak dari Kumpulan Shiro iaitu Shahrol merupakan antara calon yang
terpilih bagi menggantikan Faizal Ismail yang meninggalkan stesen Hot FM
berkuat kuasa 15 November lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio
Media Prima Berhad, Seelan Paul berkata, buat masa ini pihaknya sedang
menguji keupayaan pelawak itu selama tiga hari bermula Isnin lalu bagi
menentukan kesesuaiannya mengemudi segmen AM Krew bersama Fara Fauzana
dan AG.
“Shahrol mula ke udara pada Isnin lalu
sehingga Rabu ini (hari ini) dan kita sedang lihat sama ada dia sesuai
atau tidak untuk menggantikan tempat Faizal,” katanya kepada mStar
Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Faizal atau lebih mesra
dengan sapaan FBI membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan
jawatannya sebagai deejay stesen radio itu dalam tempoh 24 jam sehingga
menyebabkan peminatnya tertanya-tanya tindakan itu.
Dalam perkembangan sama, Seelan berkata,
selain Shahrol, pihaknya sedang mencari beberapa lagi calon sesuai
untuk diuji bakat sebelum memutuskan individu yang layak menggalas tugas
berkenaan.
Bagaimanapun kata Seelan, jika tiada calon sesuai, segmen AM Krew akan terus mengekalkan Fara dan AG tanpa sebarang pengganti.
“Masih belum dapat dipastikan
calon-calon lain yang akan diuji bakat bersama Shahrol kerana kami masih
lagi mencari individu yang sesuai.
“Jika Shahrol berkebolehan, dia
barangkali akan diserap menggantikan Faizal dan jika tiada yang sesuai
segmen itu akan terus mengekalkan Fara dan AG,” katanya.
Dalam pada itu, Seelan berkata, pihaknya
akan terus mengamalkan penggiliran artis jemputan pada segmen itu
kerana ia mendapat sambutan yang baik daripada pendengar.
“Sebelum ini artis seperti Zizan Razak,
Abon pernah muncul dalam program berkenaan dan terbaru Faizal Tahir akan
diberi kepercayaan untuk muncul pada Khamis ini.
“Malah kita ada beberapa nama yang sudah
mengesahkan akan ke udara bersama Fara dan AG seperti Didie Alias, Bell
Ngasri dan Afdlin Shauki tetapi mereka bukan calon menggantikan Faizal.
Sekadar artis undangan sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Shahrol ketika dihubungi
berkata, dia merasakan belum layak untuk menggantikan tempat Faizal yang
mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio.
Bagaimanapun pengalaman mengendalikan
program tersebut sejak Isnin lalu benar-benar menyeronokkan kerana dia
dapat mempelajari perkara baharu dalam kerjayanya.
“Fara dan AG banyak membantu dan saya rasa cukup rendah diri dapat bersama mereka selama tiga hari ke udara.
“Namun untuk menggantikan Faizal saya merasakan diri saya belum layak,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment